top of page

Selaras dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan mahasiswa yang berdaya saing, berintegriti dan berwawasan dengan berlandaskan semangat 1Malaysia, Pusat Budaya dan Seni (PBS) Universiti Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Karnival Kebudayaan Kesenian dan Keusahawanan yang berlangsung pada 4 sehingga 10 Mac lalu.

 

Karnival tujuh hari itu dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof. Madya Dr. Abdul Malek Haji Abdul Karim manakala majlis penutup disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Ahmadasri Alaudin.

 

Pengarah PBS, Huzaidy Hussain berkata, program itu merupakan serampang dua mata dalam memartabatkan kebudayaan negara dengan menerapkan elemen keusahawanan dalam diri mahasiswa UUM.

 

“Program anjuran Pusat Budaya dan Seni bukan sahaja tertumpu kepada kebudayaan dan kesenian semata-mata, tetapi turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang memberi faedah kepada mahasiswa UUM dan masyarakat sekitar.

 

“Secara tidak langsung ia menunjukkan kepada masyarakat bahawa UUM merupakan sebuah universiti yang dinamik dalam menjalankan aktiviti bukan sahaja dalam bidang pengurusan tetapi juga berkaitan dengan bidang lain termasuk kebudayaan,” jelasnya.

 

Huzaidy berkata, Ahli Jawatankuasa Pelaksana yang terdiri daripada mahasiswa UUM yang menguruskan karnival itu akan dapat menimba ilmu dan pengalaman bagi mengendalikan sesuatu acara besar-besaran seterusnya membuktikan bahawa UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka.

 

Menurutnya, aktiviti seumpama ini akan dapat menyuntik semangat pelajar untuk sentiasa berusaha menjadi yang terbaik, berdikari dan peka dengan keadaan sekeliling yang sentiasa berubah-ubah.

 

Jelasnya, program ini melibatkan kerjasama yang baik di antara kelab–kelab yang terlibat dengan aktiviti yang diadakan sempena karnival ini selain memupuk semangat saling membantu yang akan melahirkan masyarakat dan warga UUM yang bersatu.

 

“Ia juga menjadi nilai tambah kepada mahasiswa apabila mereka mempunyai pengetahuan yang luas dalam segala bidang tidak kira dalam bidang kebudayaan dan kesenian sekali gus mempunyai kelebihan berbanding mahasiswa daripada Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang lain,” tambahnya.

 

Karnival itu melibatkan penyertaan bukan sahaja daripada mahasiswa UUM malah masyarakat sekitar Zon Utara yang akan diadakan di beberapa lokasi termasuk Dataran Budaya, UUM, Dewan Budi Siswa dan Pusat Kegiatan Pelajar, UUM.

 

Antara acara menarik menanti pengunjung termasuk Ekspo Niaga dan Pameran, Kempen Derma Darah, Bengkel Penulisan Skrip Bersama FINAS, Bengkel Pengurusan Pentas, Bengkel Teater, Festival Sajian, Pertandingan Nyanyian Bintang Utara, Syarahan Perdana Bersama Ustaz Kazim Elias, Rentak Juara.

 

Selain itu, karnival turut diserikan dengan Pertandingan Kaligrafi Khat, Bengkel Vokal, Malam Anugerah Seni UUM dan Majlis Penutup.

3K Pupuk Budaya Bersatu

bottom of page