top of page

Konsert Stanza Cinta Meriah

Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Istana Budaya (IB) telah berjaya menganjurkan Konsert Stanza Cinta bersempena dengan sambutan Hari Pengasasan Universiti ke-30 baru-baru ini bertempat di Panggung Sari, Istana Budaya.

 

Ini merupakan julung kalinya sebuah universiti tempatan mengadakan persembahan di tempat tersebut. Ia adalah hasil daripada perjanjian persefahaman (MOU) yang telah termerai di antara UUM dan IB beberapa bulan yang lalu.

 

Konsert pada kali ini telah menggabungkan lima nama besar artis tanah air iaitu Adira, Noh Salleh, Jaclyn Victor, Haziq dan Amy Search.

 

Turut membuat penampilan pada malam tersebut ialah Artis Budaya UUM Sukena Md Arif, Alumni UUM Fazli Awang dan penyanyi profesional Istana Budaya Jack Dzull.

 

Dengan durasi masa persembahan selama dua jam, konsert ini telah berjaya memukau para penonton yang hadir pada malam tersebut yang juga turut dihadiri oleh Pro Canselor UUM Tun Dato’ Seri (Dr.) Ahmad Fairus Dato Sheikh Abdul Halim serta isteri Toh Puan Dato’Seri Mazni Mohamed Noor sebagai tetamu kehormat utama dan orang-orang kenamaan lain.

 

Persembahan yang diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan di bawah pimpinan Mustafa Fuzer Nawi telah menampilkan Adira dengan lagu Ombak Rindu, Haziq lagu Seraut wajah, Noh Salleh lagu In love with you dan Jaclyn Victor dengan lagu Cinta tiada akhir sebagai persembahan overture.

 

Di samping itu telah diselitkan juga tribute khas sempena penghormatan ke atas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang dan ini merupakan konsert yang pertama sekali telah menyelitkan tribute kepada tragedi tersebut.

 

Malam yang penuh dengan gilang gemilang ini telah diakhiri dengan penampilan artis Amy Search dengan lagu keramatnya Isabela, Gadisku dan Tiada lagi.

 

Turut memeriahkan persembahan pada malam tersebut adalah Kumpulan Tarian Bidasari UUM dan Kumpulan Tarian Artistana Istana Budaya sebagai penari pengiring serta Kumpulan Koir Nada Utama UUM di bawah pimpinan komposer Azmeer.

bottom of page